Pernah tak korang sakit gigi? Gigi berlubang ke? Gigi dah bergoyang2 nak tunggu patah je lagi?
Mesti pernah kan. Pernah tak korang rasa gerun sangat nak jumpa doctor gigi? Sanggup lagi ambil pil tahan sakit dari pergi jumpa doctor untuk cabut gigi. Ataupun sanggup tunggu gigi tu tercabut sendiri. Kenapa takut sangat nak jumpa doctor gigi ni?
Ha..jom saya kupas sikit isu ini. kenapa ramai orang takut nak jumpa doctor gigi..
Siapa yang mengalami perasaan takut ini?
Secara amnya, lebih ramai kaum wanita berbanding lelaki, dan lebih
ramai orang muda berbanding orang yang lebih berumur dilaporkan
mengalami perasaan takut. Ada yang mengatakan yang perasaan takut adalah
lebih jika ia melibatkan rawatan-rawatan yang lebih rumit seperti
pembedahan jika dibandingkan dengan rawatan mudah seperti penskaleran
dan pembersihan gigi..
Adakah perasaan takut ini biasa?
Di Amerika Syarikat, dijangka 75 peratus daripada orang dewasa
mengalami perasaan takut pada tahap yang berbeza, daripada sedikit ke
banyak. Daripada ini lebih kurang 5 hingga 10 peratus daripada mereka
mengalami fobia pergigian di mana mereka sangat takut dengan rawatan
pergigian sehingga sanggup mengelak daripada menerima rawatan dalam
keadaan apa jua.
Di Malaysia, kejadian perasaan takut ini adalah sangat tinggi. Satu
kajian yang dilakukan pada sekumpulan 407 orang dewasa melaporkan
kejadian ini adalah sebanyak 94.1 peratus. Keputusan yang sama juga
dilaporkan untuk golongan remaja dan murid-murid sekolah rendah. Di
Malaysia, perasaan takut dengan rawatan pergigian merupakan satu masalah
yang ditemui di semua golongan tidak mengira usia.
Apa yang menyebabkan perasaan takut ini?
Ramai melaporkan bahawa perasaan takut ini bermula selepas menerima
rawatan pergigian yang menakutkan, rumit ataupun menyakitkan terutama
ketika umur masih muda. Sebab itulah, pemeriksaan berkala sangat penting
untuk mengelakkan berlakunya masalah pergigian. Perasaan takut dengan
rawatan pergigian juga boleh bermula selepas mendengar pengalaman yang
menakutkan atau pun pendapat yang negatif mengenai rawatan pergigian.
Satu contoh ialah ketika seorang kawan cuba menakutkan kawannya yang
lain dengan memberitahu bahawa pergi berjumpa doktor gigi adalah
menyakitkan.
Perasaan takut dengan rawatan pergigian boleh dikaitkan dengan perkara-perkara berikut:
- Pengalaman buruk: perasaan fobia ini selalu dikaitkan dengan pengalaman rawatan pergigian yang buruk dan menggerunkan . Selain disebabkan oleh rawatan pergigian, pengalaman buruk juga boleh berlaku disebabkan oleh perlakuan psikologikal seperti dimalukan oleh doktor gigi.
- Pernah didera: fobia dengan rawatan pergigian selalu berlaku di kalangan mereka yang pernah mengalami penderaan fizikal atau emosi oleh orang lain..
- Doktor gigi yang tidak prihatin: ramai (walaupun dikalangan golongan professional pergigian) yang menganggap perasaan takut sakit menyebabkan ramai yang mengelakkan diri daripada berjumpa dengan doktor gigi. Hakikatnya, takut sakit sahaja tidak semestinya merupakan satu masalah tetapi rasa sakit yang disebabkan oleh doktor gigi yang tidak bertimbang rasa yang lebih memberikan impak psikososial yang besar. Rasa sakit yang disebabkan doktor gigi yang bertimbang rasa tidak akan menyebabkan trauma psikososial yang begitu besar..
- Memalukan: sebab-sebab lain berlakunya fobia dengan rawatan pergigian termasuk doktor yang tidak sensitif, kata-kata yang memalukan daripada doktor. Kenyataan yang tidak sensitif, penilaian sosial yang negatif dan perasaan pesakit dimalukan yang mendalam berpunca dari doktor gigi adalah antara sebab-sebab utama berlakunya perasaan fobia dengan rawatan pergigian.
- Belajar dari memerhati: satu sebab lain ialah daripada pemerhatian. Jika seorang ibu/bapa atau penjaga takut dengan doktor gigi, anak-anak mungkin akan belajar berasa takut juga walaupun tanpa pernah mengalami pengalaman yang buruk.
- Stres selepas pengalaman yang traumatik: Kajian menyatakan bahawa orang-orang yang telah mengalami pengalaman yang amat dahsyat akan mengalami simptom-simptom yang sering dilaporkan oleh mereka yang mengalami stres selepas pengalaman yang traumatik. Ini dikategorikan sebagai pemikiran pengalaman yang buruk dan mimpi ngeri dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan doktor gigi ataupun rawatan pergigian.
Apakah akibatnya jika adanya perasaan takut dengan rawatan pergigian?
Perasaan takut dengan doktor gigi merupakan halangan utama untuk
menerima rawatan bagi kebanyakan orang. Ia biasanya menghalang orang
yang biasanya boleh berfikiran rasional daripada mengawal dan
mengoptimakan kesihatan gigi mereka. Kebanyakan orang yang takut dengan
rawatan pergigian ini mengelak daripada menerima rawatan dan hanya pergi
jika mereka mengalami kecemasan seperti sakit gigi atau pun gigi
bernanah. Mereka yang takut melalui pengalaman rawatan pergigian sering
mengalami ?kitaran mengelak? di mana mereka mengelak menerima rawatan
pergigian kerana takut sehingga mereka mengalami kecemasan yang
memerlukan rawatan yang lebih rumit dan akhirnya akan menambahkan
perasaan takut untuk menerima rawatan pergigian.
Mengelak menerima
rawatan pergigian akan mengakibatkan kesihatan pergigian yang buruk
sebaliknya kunci kepada kesihatan pergigian yang baik adalah dengan
menjalankan pemeriksaan gigi berkala. Satu kajian yang telah dijalankan
dikalangan 407 orang dewasa di Malaysia melaporkan yang mereka yang
berada pada tahap yang tinggi dalam skala takut dengan rawatan pergigian
adalah 6 kali lebih tinggi berkemungkinan untuk membatalkan temujanji
rawatan pergigian berbanding dengan mereka yang berada di skala yang
lebih rendah.
Selain daripada sebab-sebab gigi dan gusi, kesihatan mulut yang buruk
boleh mempengaruh keyakinan diri seseorang. Kadangkala, mereka yang
mengabaikan gigi mereka dengan mengelak daripada berjumpa doktor gigi
akan menghadapi masalah psikologikal. Ditambah dengan perasaan kurang
yakin dengan kesihatan mulut yang kurang baik, ia akan menghalang
pergaulan sosial seseorang.
Bagaimana mengatasi masalah takut?
Kebanyakan perasaan fobia ini berlaku disebabkan pengalaman dengan
doktor gigi yang tidak mempunyai skil, tidak prihatin atau tidak layak.
Maka, perkara yang paling penting untuk mengatasi takut dengan rawatan
pergigian ialah dengan berjumpa dengan seorang doktor gigi yang baik.
Seorang doktor gigi ialah seorang yang:
- Penyabar
- Berkaliber
- Membuat rawatan dalam keadaan yang bebas sakit
- Prihatin terhadap pesakit
- Berupaya untuk membimbing pesakit melalui pengalaman yang traumatik
Selain itu, teknik-teknik lain yang pernah digunakan untuk menolong
pesakit yang takut adalah seperti menggunakan ubat bius (mild
sedatives). Komunikasi secara bersemuka yang bagus, menjawab jawapan
pesakit dengan mendengar dengan baik akan mengurangkan perasaan resah
mereka.
Akhir sekali, cara yang terbaik untuk mengurangkan masalah pergigian
yang akan mengakibatkan rawatan yang kompleks ialah dengan mempraktikkan
habit penjagaan gigi yang baik dan menjaga kesihatan mulut.