Soalan:

Anak saya yang berusia tiga tahun amat gemarkan ubat. Saya memang tidak ada masalah hendak memberikan dia ubat. Tetapi perkara yang sering merisaukan saya ialah dia gemarkan ubat walaupun ubat itu bukan untuknya. Jika saya memberi adiknya ubat demam, dia akan meminta sedikit daripada saya. Kalau tidak diberi, dia akan mengamuk. Malah, saya risau kalau dia mengambil ubat untuk orang dewasa dan meminumnya di luar pengetahuan saya. Apa yang wajar saya lakukan untuk menghentikan tabiatnya itu?

Jawapan:
Apa yang perlu dilakukan adalah menjauhkan ubat-ubatan daripada pandangan anak. Sebaiknya simpan ubat-ubat tersebut di tempat yang anak kecil tidak tahu dan tidak dapat mencapainya. Ini kerana agak payah untuk anak-anak sekecil itu memahami kenapa sesuatu perkara itu tidak boleh dimakan, dilakukan dan sebagainya.
Di samping itu, ketika memberi ubat kepada anak-anak yang lain atau untuk ibu dan ayah, pastikan ia dilakukan di luar pengetahuan anak itu. Dengan cara ini anak kecil yang cerdik tidak akan merengek-rengek meminta disuapkan ubat yang sedang diberikan kepada adiknya.
Sekiranya anda melarang dengan alasan yang dibuat-buat untuk menakutkannya seperti “Eii..ini ubat tak elok untuk adik, nanti adik sakit” hanya akan membuatkan anak anda menjadi takut  kepada ubat pula, ataupun merasa anda tidak mengendahkannya lagi.
Kadang kala sifat ingin tahu anak-anak kecil yang kuat, membuatkan perkara yang dilarang itulah yang semakin ingin diketahui dan dilakukan.