Latest News

.

Anak Murid Sukar Faham


Soalan :

Saya seorang guru di sebuah tadika di kawasan bandar. Baru-baru ini saya ditegur oleh pengetua tadika supaya memastikan kanak-kanak di bawah pengawasan saya boleh membaca dan menulis setelah ada ibu bapa yang membuat komen bahawa anak mereka masih belum boleh membaca. Tetapi pada masa yang sama ada juga kanak-kanak yang saya ajar boleh membaca dan menulis. Apakah bentuk pembelajaran yang harus saya lakukan kepada kanak-kanak bermasalah itu dan haruskah juga ibu bapa mengajar anak-anak mereka di rumah. Sila bagi tunjuk ajar.

Jawapan :


Kedudukan tadika mempengaruhi latar belakang sosial. Tadika kawasan bandar pula terdiri daripada keluarga golongan pertengahan ke atas lebih menitik beratkan kepada kualiti pendidikan dan semua perkembangan anak-anak diambil berat. Keadaan ini memberi tekanan kepada pendidik di tadika sekiranya tidak dapat menangani masalah pendidikan kanak-kanak.

Pendidik kanak-kanak hendaklah mempunyai pengetahuan untuk menjelaskan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa yang terlalu inginkan hasil daripada pembelajaran di tadika khususnya rata-rata memastikan anaknya boleh membaca dan menulis.

“Mengapa anak saya tidak boleh membaca dan menulis?” Itulah teguran ibu bapa kepada pengusaha dan juga pendidik di tadika. Apakah ibu bapa perlu menyalahkan pihak pendidik di tadika sahaja atau tanggungjawab mengajar diserahkan bulat-bulat kepada pendidik di tadika? Sebenarnya pendidikan bermula dari rumah kemudian ke institusi pendidikan. Mengajar membaca dan menulis tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Ibu bapa perlu memahami setiap kanak-kanak perkembangannya berbeza dan pendekatan kanak-kanak mempelajari sesuatu perkara juga berbeza. Terimalah hakikat dan kenyataan sehingga ke peringkat dewasa, manusia tetap mempunyai perbezaan pencapaiannya. Maka tidak hairanlah jika di sesebuah tadika terdapat kanak-kanak yang cepat menguasai kemahiran membaca dan menulis dan terdapat juga kanak-kanak yang agak lambat perkembangannya untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis.

Pembelajaran Berkesan Proses mendidik kecekapan kemahiran literasi kanak-kanak mengambil masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata. Kepekaan membaca bermula masa bayi lagi. Ibu bapa berkomunikasi dan bayi akan membalasnya dengan ceridauan atau membunyikan suara yang tidak jelas. Kanak-kanak berterusan membina kemahiran mendengar dan bertutur semasa berkomunikasi untuk keperluannya.

Kebanyakan kanak-kanak yang persekitarannya dikelilingi bahasa dari lahir adalah lancar pertuturannya pada usia tiga tahun.

Mendengar dan bertutur merupakan kemahiran asas kepada membaca dan menulis dan pada waktu yang sama kanak-kanak belajar membaca dan menulis. Di rumah dan di tadika mereka mendengar cerita yang digemari dan menceritakan semula mengikut caranya sendiri, bermain bongkah huruf, mencetak logo, melukis gambar, melakar dan menulis huruf dan perkataan, dan melihat orang dewasa menulis dan membaca untuk keseronokan.

Kebanyakan pengalaman permainan membantu kemahiran literasi kanak-kanak. Mengasingkan, memadankan, mengelaskan dan membuat urutan bahan seperti butang dan kiub warna yang kesemua ini mencetuskan kemahiran literasi.

Menggentel tanah liat (playdoh) dan melakukan permainan jari membantu kanak-kanak mengukuhkan dan menambah baik koordinasi otot kecil di tangan dan jari. Kanak-kanak akan menggunakan otot untuk mengawal alat penulisan seperti krayon dan pensel.

Kemahiran membaca dan menulis terbina bersama. Kanak-kanak belajar tentang penulisan menerusi pemerhatian di rumah, taska, tadika, sekolah dan komuniti. Mereka memerhati dan belajar semasa orang dewasa menulis seperti menyenaraikan barangan, berhubung dengan rakan dan menulis silang kata.

Kanak-kanak juga belajar daripada cara menulis sendiri. Ibu bapa dan juga pendidik di tadika boleh memperkenalkan kepada pembacaan perhatian. Misalnya memperkenalkan huruf-huruf pada nama yang mewakili nama kanak-kanak. “B” untuk Badul dan kanak-kanak hanya mengenal rupa bentuk huruf yang mewakili nama tetapi tidak memahami setiap huruf dalam perkataan yang lengkap. Walau bagaimana pun kefahaman terhadap prinsip huruf telah dapat dipupuk untuk membina kemahiran membaca seterusnya.

Berdasarkan pengalaman yang dipupuk kanak-kanak menyedari bahawa perkataan mempunyai bentuk yang berbeza, mengenali huruf dengan nama, mengenal bahawa terdapat perkataan bermula dengan huruf yang sama, menyedari huruf mempunyai bunyi, memadankan bunyi dengan huruf dengan betul, proses melihat perbendaharaan perkataan biasanya nama sendiri dan rakan, menyedari huruf abjad adalah kategori khusus dalam cetakan.

Menulis adalah merumitkan dan kompleks. Banyak proses sub-komponen perlu difahami. Perkembangan berlaku pada kanak-kanak di tahap berbeza, jangka waktu yang tidak diduga dalam bidang pengetahuan yang berbeza. Selain itu pembelajaran visual atau menggambarkan tentang ciri dan bentuk huruf, keupayaan membentuk huruf dan mengetahui tulisan melibatkan mesej, penulis mesti mendengar kepada bunyi pertuturan dalaman dan mencari huruf sepadan yang mewakili bunyi. Disebabkan huruf diikuti dengan huruf yang dicetak, kanak-kanak perlu membuat pilihan dan keputusan secara bijak.

Melakar merupakan proses asas kepada penulisan. Kanak-kanak yang telah biasa melakar pada kertas lukisan akan lebih berkeyakinan apabila menulis huruf. Kemahiran mengawal tangan dan jari diperoleh menerusi pengalaman melakar. Keadaan ini kurang disedari oleh orang dewasa dan mengharapkan keberhasilan yang segera pada kanak-kanak.

Berikan masa kepada kanak-kanak mengalami proses penulisan adalah sesuatu yang menyeronokkan bukan penekanan yang secara tidak langsung akan merencatkan minat mereka untuk belajar membaca dan menulis.

Recent Post

recent