Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab Suami Isteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab Suami Isteri. Papar semua catatan
Gelap Selepas Bersalin
Soalan :
Kulit di bahagian perut menjadi agak gelap selepas bersalin. Faktor hormon sering menjadi alasan mengapa keadaan ini terjadi. Bolehkah masalah kulit gelap di bahagian perut ini diatasi dan bagaimana caranya?
Jawapan :
Sepatutnya hormon kehamilan boleh membantu wanita memiliki kulit yang berseri. Tetapi sejumlah 70% wanita berhadapan dengan masalah peningkatan hormon yang menyebabkan jumlah penghasilan melanin meningkat. Inilah yang menyebabkan kulit menjadi gelap atau warna kulit wajah tidak sekata. Masalah ini akan berkurangan setelah beberapa bulan melahirkan. Masalah ini boleh dikurangkan sejak dari awal kehamilan dengan cara :
1. Jangan Kerap Terdedah Kepada Matahari
Terlalu kerap terdedah kepada sinaran matahari akan menjadikan masalah ini bertambah ketara. Gunakanlah krim tabir suria setiap hari sebagai salah satu kaedah untuk melindungi kulit daripada sinar UV.
2. Mencuba Masker Semula Jadi
Ibu hamil boleh mencuba pelbagai petua semula jadi yang menjimatkan untuk menangani masalah ini. Antaranya adalah dengan menggunakan pulpa oren. Ia boleh membantu mencerahkan kulit.
3. Asid Folik
Ia bukan sahaja baik untuk bayi, vitamin Asid Folic atau makanan yang kaya dengan khasiat folat seperti sayur-sayuran berwarna hijau gelap, kacang, strawberi dan telur sangat baik untuk kulit ibu hamil.
4. Rejim Penjagaan Kulit
Apabila tempoh kehamilan berakhir, masalah yang berkaitan pigmentasi juga bakal berakhir. Rejim penjagaan kulit yang teratur nyata boleh menggalakkan sel kulit anda kembali segar dan sihat. Salah satu kaedah yang paling berkesan ialah dengan cara pengelupasan. Anda boleh cuba menghasilkan skrub semula jadi dengan menggunakan campuran gula dan minyak zaiton.
5. Krim Pencerah
Semasa hamil, para ibu tidak disarankan untuk mengaplikasikan krim pencerah pada wajah. Mulakan penggunaan krim ini beberapa bulan selepas bersalin. Sedikit sebanyak ia boleh membantu mengembalikan kecerahan kulit anda.
Persediaan Ketika Hamil
Soalan :
Kini saya hamil anak kedua. Saya berazam mahu menyusukannya selama yang boleh. Apa panduan untuk saya ikuti sepanjang hamil, awal kelahiran dan selepas tempoh enam bulan melahirkan?
Jawapan :
Penyusuan susu ibu adalah proses yang perlu dipelajari oleh ibu dan bayi juga. Persediaan penyusuan susu ibu yang paling penting ialah mendapatkan sebanyak mungkin ilmu sepanjang kehamilan ini. Berikut adalah panduan yang dapat membantu anda dalam menyusukan bayi.
- Hadiri kelas persediaan penyusuan susu ibu atau kelas antenatal yang menyentuh tentang isu penyusuan susu ibu secara menyeluruh.
- Mulakan penyusuan susu ibu sejurus selepas bayi dilahirkan, sebaik-baiknya dalam tempoh 1 jam. Kolostrum yang ada dalam beberapa hari pertama kaya dengan protein dan bahan lain yang dapat menghalang jangkitan kepada bayi.
- Cuba posisi yang berlainan ketika menyusu. Elakkan bersandar kepada bayi. Sebaliknya, duduk dan halakan bayi ke paras payu dara. Gunakan bantal untuk sokongan. Pastikan juga bayi melekap dengan baik.
- Menyusu mengikut permintaan berdasarkan isyarat kelaparan bayi (baby’s cues) tanpa sekatan. Perhatikan isyarat itu: Mulut bayi buka tutup (mouthing), rooting, meletakkan tangan di mulut dan menangis. Apa-apa pun, jangan tunggu sehingga dia menangis. Adalah penting untuk bayi disusukan mengikut permintaannya.
- Pastikan payu dara dikosongkan sebaik mungkin setiap kali sesi penyusuan untuk memastikan proses penghasilan susu berjalan lancar. Lebih kerap payu dara dikosongkan (dengan efektif), lebih banyak susu akan dihasilkan!
- Dapatkan penilaian teknik penyusuan anda daripada pihak profesional terlatih dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam pertama selepas kelahiran. Sebaik-baiknya dapatkan panduan daripada perunding laktasi.
- Susukan bayi sehingga dia puas. Kandungan lemak dalam susu ibu meningkat sewaktu sesi penghisapan. Biarkan bayi selesaikan penyusuan sebelum menawarkan payu dara yang sebelah lagi.
- Elakkan puting kosong.
- Menyusu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama. Penyusuan susu ibu ideal untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi anda.
- Jangan beri suplemen (air, air glukos, susu formula, makanan bayi dan lain-lain) kepada bayi.
- Pemakanan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan dan kesihatan ANDA. Apabila anda sihat, bayi pun sihat juga. Diet yang berasaskan empat kumpulan asas adalah disarankan. Walau bagaimanapun, makanan yang anda ambil tidak akan memberi kesan kepada susu tetapi pada tahap kesihatan. Jadi, jaga diri anda.
- Jika berkerjaya, pastikan anda membuatkan persediaan yang perlu.
Makanan Tidak Pengaruhi Susu Ibu
Soalan :
Saya baru melahirkan anak. Pengambilan makanan seimbang diyakini dapat memperbanyakkan susu. Adakah dengan pengambilan makanan segera akan mempengaruhi penghasilan susu ibu?
Jawapan :
Amalan pemakanan sihat sememangnya penting bukan sahaja untuk para ibu yang menyusukan bayi tetapi untuk setiap individu tidak kira peringkat umur. Pelbagaikan makanan yang diambil dan pastikan ia seimbang! Hal ini adalah untuk kesihatan anda dan bukannya untuk menjamin kualiti dan kuantiti susu yang dihasilkan. Walaupun anda mengambil makanan segera sekalipun, ia tidak akan menjejaskan penghasilan susu tetapi akan memudaratkan kesihatan anda sendiri!
Perkara yang paling penting untuk memastikan penghasilan susu yang secukupnya adalah kekerapan bayi menyusu dan amalan mengosongkan payu dara anda dengan efektif. Maka dengan itu akan bertambah banyaklah susu anda!
Sementara itu, untuk makluman anda, kadang kala kalori seorang ibu atau pengambilan cecair boleh menjejaskan pengeluaran susu.
• Kalori : Secara umumnya, anda hanya perlu “mendengar” isyarat tubuh dan makan untuk memenuhi selera diri. Ini adalah perkara biasa yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan kalori harian yang diperlukan. Amalan mengira kalori merupakan suatu perkara yang kurang perlu dilakukan melainkan anda mempunyai masalah untuk mengekalkan berat badan yang sihat. Dalam pada itu, diet yang berlebihan boleh mengurangkan bekalan susu, namun diet yang ideal secara amnya tidak akan mendatangkan apa-apa masalah.
• Cecair : Anda tidak perlu memaksa diri untuk mengambil cecair pada jumlah yang tertentu. Minum sekadar untuk menghilangkan dahaga. Itu yang paling penting. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah penghidratan yang teruk, minum air tambahan tidak akan memberi apa-apa manfaat, malah lebih teruk daripada itu, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan pada masa yang sama tidak membantu meningkatkan bekalan susu. Oleh yang demikian, makanlah apabila berasa lapar dan minum apabila berasa dahaga. Perlukah anda mengambil sebarang makanan khas ataupun suplemen tambahan? Vitamin atau mineral (pranatal atau apa-apa jenis juga) tidak dianggap perlu jika anda mengamalkan pemakanan yang seimbang. Hal ini kerana penghasilan susu bergantung kepada permintaan dan bukannya produk atau pemakanan khas.
Setiap ibu, tidak kira sama ada bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa harus mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang mengikut cadangan pemakanan sihat oleh Kementerian Kesihatan. Anda perlu memastikan diri mendapat rehat yang secukupnya dan kurangkan tekanan kerana apabila ibu tidak tenang ia akan mempengaruhi keupayaan anda untuk mendapatkan pancutan refleks (milk ejection reflex) kerana hormon oksitosin yang bertanggungjawab untuk perkara ini berlaku akan terencat. Pancutan refleks diperlukan untuk mengeluarkan susu daripada payu dara.
Rutin Rawatan Kecantikan
Soalan
Saya baru disahkan hamil dua bulan. Persoalannya, bolehkah saya meneruskan rutin rawatan fasial walaupun sedang hamil? Apakah antara rawatan wajah yang disarankan oleh pihak puan sepanjang tempoh kehamilan ini?
Jawapan :
Tahniah di atas kehamilan anda. Kehamilan langsung tidak menjadi penghalang untuk anda meneruskan rutin penjagaan kecantikan wajah. Malah, sepanjang tempoh kehamilanlah para ibu perlu lebih kerap menjaga penampilan dirinya supaya sentiasa kelihatan segar, bersih, sihat dan cantik. Dari sudut psikologi, rawatan wajah boleh membantu meningkatkan lagi daya keyakinan diri seseorang wanita hamil sekali gus meningkatkan rasa ceria dalam dirinya, lebih-lebih lagi bagi seorang wanita yang bakal bergelar ibu seperti puan. Walau bagaimanapun, para ibu perlu lebih berhati-hati sewaktu memilih jenis rawatan wajah yang ingin dilakukan semasa sedang hamil. Wanita hamil perlu mengelak dari menggunakan mesin rawatan wajah yang berfrekuensi tinggi. Urutan yang sangat kuat pada wajah juga tidak digalakkan. Puan disarankan untuk melakukan rawatan wajah yang standard sahaja sewaktu sedang hamil.
Usia Sesuai Guna Krim Anti Kedutan
Soalan :
Saya baru berusia 20 tahun dan baru sahaja bergelar ibu. Saya ada satu persoalan berhubung penjagaan kecantikan wajah. Pada usia bilakah seorang wanita disarankan untuk menggunakan krim anti kedutan di wajah?
Jawapan :
Sewaktu di usia remaja, kulit individu masih lagi dalam peringkat perkembangan. Dalam usia semuda ini anda disarankan untuk menggunakan krim yang bersesuaian dengan usia anda.
Krim anti kedutan sebaiknya mula digunakan pada wajah sewaktu usia anda menjangkau 25 tahun atau memasuki usia dewasa. Sebaiknya anda pilihlah krim mengikut keperluan kulit seiring dengan usia anda. Dalam masa yang sama, anda juga boleh mengelak pembaziran.
Suplemen Penting Untuk Otak
Soalan:
Isteri saya sedang hamil anak sulung. Dia disarankan mengambil dietary supplement
berbentuk kapsul yang mengandungi minyak ikan, DHA, EPA, AA dan OA di
samping vitamin rutin untuk ibu hamil. Benarkah suplemen tersebut dapat
mempengaruhi pertumbuhan otak bayi dan boleh menjadikannya lebih bijak
selepas lahir?
Jawapan:
Asid lemak omega-3 seperti DHA dijumpai dalam membran sel tubuh. Walau
bagaimanapun konsentrasinya didapati lebih tinggi dan paling penting
untuk fungsi otak, mata dan saraf. Ia penting semasa kehamilan ketika otak, mata dan saraf janin sedang berkembang.
Janin bergantung sepenuhnya kepada ibu untuk khasiat yang diperlukan.
Dengan itu, ibu perlu mengambil makanan yang mengandungi DHA dan
asid-asid lemak perlu lain yang mencukupi iuntuk menyokong perkembangan
otak dan mata bayi yang optimum.
Pengambilan makanan yang berkhasiat semasa kehamilan dan penyusuan
memberi kesan positif kepada kehidupan kanak-kanak di kemudian hari. Ada
kajian yang menunjukkan bahawa ibu yang mengamalkan pengambilan DHA
yang mencukupi semasa kehamilan dan penyusuan memberi kesan positif
dalam pembelajaran.
DHA paling diperlukan semasa trimester ketiga (minggu 28 – 40)
kehamilan apabila perkembangan otak janin berada di puncak tetapi ia
boleh dimulakan sebaik sahaja keadaan janin stabil iaitu trimester kedua
(minggu 13 – 27).
Sebarang kekurangan khasiat semasa trimester kedua juga boleh memberi
kesan kepada susu ibu selepas bayi dilahirkan. Pengambilan suplemen yang
mengandungi asid lemak perlu seperti yang terkandung dalam minyak ikan
tuna boleh diteruskan sepanjang tempoh penyusuan bayi.





