Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga.
Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?
Gastrik ialah keadaan di mana jus usus
dirembeskan dalam perut dan menghakis dinding perut serta menyebabkan
radang pada dinding perut berkenaan. Untuk orang awam, gastrik biasanya
disebut sebagai ‘angin’.
Biasanya, pesakit akan mengalami pedih
pada bahagian ulu hati, iaitu bahagian tengah atas abdomen yang terletak
di bawah tulang rusuk. Pedih ini juga dikatakan ‘merebak’ ke bahagian
tengah dada dan digambarkan seperti rasa ‘terbakar’ pada bahagian itu.
Sakit ini juga boleh dirasa hingga ke
bahagian belakang badan. Selain itu, pesakit akan sendawa dan membuang
angin dengan banyak berbanding kebiasaannya. Pesakit juga mengalami
pening, loya, muntah.
Penghidap gastrik yang kronik biasanya dinasihatkan untuk tidak berpuasa kerana boleh memudaratkan diri. Tentu merunsingkan anda kan? Ibadah puasa tidak dapat dijalankan dan perasaan rugi yang amat sangat. Pulak tu, kena ganti balik.
Antara sebab gastrik yang utama ialah amalan waktu makan yang tidak teratur.
Seringkali penghidap gastrik terpaksa minum air susu terlebih dahulu
apabila diserang gastrik. Penghidap gastrik yang terus menjamah makanan
lain apabila kelaparan biasanya akan mengalami kesakitan perut yang
teramat sangat. Anda tentunya tidak mahu hidup anda terus diganggu oleh
penyakit ini, ini kerana penghidap gastrik tidak digalakkan memakan
cili, cuka, asam dan makanan berlemak sedangkan kebanyakan makanan di
sekeliling kita mempunyai kesemua gabungan rasa tersebut.
TANDA GASTRIK MUDAH DIKESAN KERANA IA MENYEBABKAN KETIDAKSELESAAN PADA PERUT. ANTARA TANDANYA IALAH :
- Sakit perut (pada bahagian atas perut atau abdomen).
- Rasa senak, berangin atau pedih.
- Rasa tidak selesa.
- Kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan.
- Rasa mual (loya) dan muntah.
- Hilang selera makan.
- Berat badan turun (pada peringkat teruk).
PUNCA-PUNCA GASTRIK:
- Penggunaan kerap ubat penahan sakit bagi melegakan kesakitan tertentu seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen.
- Pengambilan alkohol yang berlebihan.
- Pengambilan kokain.
- Merokok.
- Stress.
- Gangguan auto-imun.
- Radiasi dan kemoterapi.
- Makan atau minum bahan-bahan menghakis seperti racun.
- Pengaliran semula hempedu ke dalam perut.
- Rembesan asid gastrik yang berlebihan.
- Jangkitan kuman/parasit, terutamanya di kalangan mereka yang lemah sistem ketahanan badannya.
- Lain-lain masalah perubatan seperti HIV/AIDS, penyakit buah pinggang.
TIPS PENCEGAHAN SEPANJANG BULAN PUASA
- Mengambil berat tentang pemakanan semasa bersahur bukan hanya disebabkan oleh masalah gastrik tetapi kerana ia merupakan amalan yang disunatkan.
- Bersahurlah pada waktu menjelang imsak dan bukannya sebelum tidur.
- Bersederhana semasa berbuka dan tidak mengambil makanan berlebihan kerana ini mungkin menyebabkan sebu hulu hati.
- Mengelakkan makan sepanjang malam dan tidur dalam keadaan perut yang penuh. Keadaan ini hanya membebankan usus yang sepatutnya berehat semasa tidur. Oleh itu, makanlah antara 3 hingga 4 jam sebelum tidur.
- Elakkan tabiat terus tidur sebaik makan sahur kerana ia menimbulkan masalah pada sistem penghadaman.
- Ada sesetengah individu yang alah pada makanan tertentu seperti cuka dan rempah. Jadi, elakkannya.
- Elakkan makanan yang berlemak.
- Hindari sesetengah sayuran yang mengeluarkan banyak gas seperti brokoli, kubis dan kacang soya.
- Bersahurlah dengan makanan dan bukan sekadar minum air supaya dapat mengisi perut yang kosong.
- Amalkan solat tarawih bagi memudahkan penghadaman makanan.