Makanan Tidak Pengaruhi Susu Ibu
Soalan :
Saya baru melahirkan anak. Pengambilan makanan seimbang diyakini dapat memperbanyakkan susu. Adakah dengan pengambilan makanan segera akan mempengaruhi penghasilan susu ibu?
Jawapan :
Amalan pemakanan sihat sememangnya penting bukan sahaja untuk para ibu yang menyusukan bayi tetapi untuk setiap individu tidak kira peringkat umur. Pelbagaikan makanan yang diambil dan pastikan ia seimbang! Hal ini adalah untuk kesihatan anda dan bukannya untuk menjamin kualiti dan kuantiti susu yang dihasilkan. Walaupun anda mengambil makanan segera sekalipun, ia tidak akan menjejaskan penghasilan susu tetapi akan memudaratkan kesihatan anda sendiri!
Perkara yang paling penting untuk memastikan penghasilan susu yang secukupnya adalah kekerapan bayi menyusu dan amalan mengosongkan payu dara anda dengan efektif. Maka dengan itu akan bertambah banyaklah susu anda!
Sementara itu, untuk makluman anda, kadang kala kalori seorang ibu atau pengambilan cecair boleh menjejaskan pengeluaran susu.
• Kalori : Secara umumnya, anda hanya perlu “mendengar” isyarat tubuh dan makan untuk memenuhi selera diri. Ini adalah perkara biasa yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan kalori harian yang diperlukan. Amalan mengira kalori merupakan suatu perkara yang kurang perlu dilakukan melainkan anda mempunyai masalah untuk mengekalkan berat badan yang sihat. Dalam pada itu, diet yang berlebihan boleh mengurangkan bekalan susu, namun diet yang ideal secara amnya tidak akan mendatangkan apa-apa masalah.
• Cecair : Anda tidak perlu memaksa diri untuk mengambil cecair pada jumlah yang tertentu. Minum sekadar untuk menghilangkan dahaga. Itu yang paling penting. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah penghidratan yang teruk, minum air tambahan tidak akan memberi apa-apa manfaat, malah lebih teruk daripada itu, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan pada masa yang sama tidak membantu meningkatkan bekalan susu. Oleh yang demikian, makanlah apabila berasa lapar dan minum apabila berasa dahaga. Perlukah anda mengambil sebarang makanan khas ataupun suplemen tambahan? Vitamin atau mineral (pranatal atau apa-apa jenis juga) tidak dianggap perlu jika anda mengamalkan pemakanan yang seimbang. Hal ini kerana penghasilan susu bergantung kepada permintaan dan bukannya produk atau pemakanan khas.
Setiap ibu, tidak kira sama ada bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa harus mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang mengikut cadangan pemakanan sihat oleh Kementerian Kesihatan. Anda perlu memastikan diri mendapat rehat yang secukupnya dan kurangkan tekanan kerana apabila ibu tidak tenang ia akan mempengaruhi keupayaan anda untuk mendapatkan pancutan refleks (milk ejection reflex) kerana hormon oksitosin yang bertanggungjawab untuk perkara ini berlaku akan terencat. Pancutan refleks diperlukan untuk mengeluarkan susu daripada payu dara.
Makanan Tidak Pengaruhi Susu Ibu
Reviewed by Unknown
on
10:08:00 PG
Rating: 5